Sunday, August 8, 2010

SUKAU BAKAL MENJADI BANDAR BIOIVERSITI

Sabah&Sarawak: Bandar biodiversiti
Oleh Poliana Ronnie Sidom
bhnews@bharian.com.my
2010/08/09
Sukau bakal tumpuan pelabur industri pelancongan

KINABATANGAN: Selama ini, Sukau mendapat jolokan 'kampung mati' kerana jauh ketinggalan dari arus pembangunan walaupun menjadi tumpuan pelancong serata dunia berikutan keindahan khazanah alam yang dimilikinya. Bagaimanapun, tanggapan itu bakal berubah menjelang tahun depan apabila Sukau dinaik taraf menjadi pekan kecil beridentitikan bandar biodiversiti'. Kewujudan pekan baru itu dinantikan kira-kira 80,000 penduduk membabitkan 42 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau kerana menyedari ia bakal memberi manfaat besar, bukan saja terhadap pendapatan negeri tetapi juga masyarakat setempat.

Keputusan meluluskan cadangan itu diumumkan kerajaan negeri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), April lalu, manakala majlis pecah tanah disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, di tapak Pekan Baru Sukau.

Antara lain, Musa yakin pembangunan Sukau bakal menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing ke Sabah, terutama dalam industri pelancongan.

"Kira-kira 15 pusat pelancongan sedia ada di Sukau mampu mendorong kepada peningkatan sosioekonomi dan taraf hidup penduduk.
"Sukau berpotensi dibangunkan dengan industri pelancongan bernilai tinggi. Justeru, masyarakat setempat perlu memanfaatkan potensi sedia ada dan pantas memikirkan industri hiliran yang boleh dibangunkan.

"Ini adalah antara pendekatan kerajaan dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar," katanya.

Sukau terletak kira-kira 150 kilometer (km) dari Sandakan dengan sebahagian besar penduduk adalah etnik Sungai yang menjalankan kegiatan ekonomi seperti bertani dan menangkap hasil sungai.

Berdasarkan statistik, purata kedatangan pelancong asing ke Sukau melebihi 35,000 orang setahun selepas beberapa tempat menarik di kawasan itu diiktiraf sebagai destinasi pelancongan.

Antaranya Gua Gomantong yang terkenal sebagai pusat penuaian sarang burung, perkuburan kuno Batu Tulug selain kepelbagaian hidupan liar seperti monyet bangkatan, gajah pigmy serta flora dan fauna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Saddi Abdul Rahman, berkata impian mewujudkan pekan baru itu diidamkan sejak beliau menjadi Ahli Majlis Daerah Kinabatangan pada 2004.

Katanya, pelaksanaan pekan baru di kawasan seluas 64 hektar di Kampung Sukau bakal dibangunkan secara berperingkat dan disusuli pembinaan pelbagai kemudahan asas.

"Sebuah jambatan konkrit akan dibina merentasi Sungai Kinabatangan untuk memudahkan perhubungan dengan daerah lain termasuk Lahad Datu, Semporna dan Tawau, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

"Selain itu, penduduk juga bakal menikmati pelbagai kemudahan seperti bekalan air dan elektrik selaku fokus utama sebagai agenda pembangunan Sukau dalam jangka panjang.

"Pelbagai peluang ekonomi ini diharap akan menjadi faktor yang menarik golongan muda untuk bekerja di kampung halaman tanpa perlu berhijrah ke bandar," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sukau, Shaharon Ahmad, 67, berkata hasrat penduduk setempat mahu mengecap nikmat pembangunan di kawasan terbabit semakin menjadi kenyataan dengan adanya pembangunan pekan baru itu.

"Selama ini kami hanya mendengar cerita mengenai pembangunan dan pelbagai kemudahan. Syukurlah kerana akhirnya kami juga akan menikmati makna pembangunan negeri dan negara.

"Semua ini sewajarnya mendorong penduduk bekerja lebih kuat untuk memperbaiki ekonomi keluarga masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment