Friday, September 16, 2011

GOLONGAN MUDA DAN NASYID

14th September, 2011

MENYEDARI konsep dan pendekatan untuk lagu-lagu nasyid perlu berubah sesuai dengan peredaran zaman, dua orang anak watan Sabah tampil berani mempertaruhkan irama nasyid kontemporari.
Menggelarkan diri mereka sebagai Elhamz, Mazhair Shahroz Muhasip dan Zakariah@Hamzah Junaiday mengatur kemas langkah demi melakar nama dalam arena yang diceburi.
Mulanya Elhamz hanya dikenali menerusi lagu single ‘Cerita Cinta’ yang telah dimuatkan dalam album kompilasi nasyid berjudul ‘Nasyeed Semesta’ pada awal tahun ini. Sambutan yang diterima membolehkan mereka meneruskan langkah dengan lagu single kedua mereka, ‘Taubat Nasuha’.
“Cerita Cinta mendapat sentuhan daripada salah seorang ahli kumpulan Devotees, Abdul Halim Ahmad manakala ‘Taubat Nasuha’ pula merupakan nukilan Hamzah. Melodi segar pada lagu-lagu ini mendapat sambutan hangat dan kian menjadi pilihan pendengar untuk diputarkan di corong-corong radio tempatan,” ujar Mazhair yang lebih dikenali sebagai Elty.
Bersyukur dengan rezeki yang diperolehi, pemuda yang bakal menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Pengajian Al-Quran), Universiti Malaya bulan hadapan; memaklumkan bahawa Elhamz kini sibuk menyiapkan album sulung mereka yang dijangka berada di pasaran pada Disember nanti.
Menurutnya, album itu nanti bakal memuatkan sepuluh buah lagu yang menonjolkan irama, muzik dan persembahan vokal yang lebih segar dan matang.
Menariknya, walaupun kumpulan nasyid Indie kelahiran Sabah ini masih boleh dikategorikan sebagai hijau dalam dunia muzik, namun bagi Hamzah, bakat serta pengalaman yang ada pada mereka mampu menghasilkan karya yang terbaik.
Walaupun kami masuk ke industri muzik ini pada tahun 2009 namun perjalanan yang kami lalui banyak mengajar kami untuk lebih matang dalam bidang yang diceburi. Justeru kami mahu membuktikan kemampuan kami menerusi penghasilan lirik dan lagu,” ujarnya sambil menambah lagu lain yang bakal dimuatkan juga mendapat sentuhan daripada komposer lain seperti seperti Syazwan Jaafar Taib, Farid Nuljari dan Muhammad Mohd Tawil.
Tuturnya lagi, album yang belum mempunyai judul itu bakal diterbitkan di bawah syarikat Shadow Art Production milik Syazwan Jaafar dan Dr Azmil Hashim selaku penasihat, dengan kerjasama Elhamz Entertainment.
Melabelkan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Thank You Allah, Maher Zain, sebagai suatu fenomena dalam industri muzik, kumpulan duo ini optimis mampu menepati selera pendengar dan peminat masa kini.
“Biarpun kami adalah kumpulan Nasyid, tetapi lagu-lagu yang kami ketengahkan mendapat suntikan elemen muzik yang lebih segar dan versatile seperti pop, balada, slow rock dan reggae. Malah ‘Cerita Cinta’ dan juga ‘Taubat Nasuha’ masing-masing mempunyai elemen pop dan rock,” ujar Hamzah yang masih menuntut di Universiti Malaya dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan Islam.
Berbekalkan semangat kental, Elhamz berharap agar album sulung mereka nanti mendapat sambutan yang menggalakkan.
Bagi peminat yang ingin mengetahui perkembangan terkini Elhamz bolehlah melayari laman Facebook mereka di facebook.com/elhamz dan elhamz di el-hamz.blogspot.com

No comments:

Post a Comment