Tuesday, July 12, 2011

Nelayan Pulau Nunuyan ‘dahagakan’ pembangunan

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB

mohdazam@hmetro.com.my HIDUP mereka boleh dikatakan diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Dengan hanya menggunakan sampan kecil yang kebanyakannya buatan sendiri, rutin harian mereka berjalan seperti biasa iaitu keluar menangkap ikan seawal lima pagi dan pulang ke rumah sekitar jam tujuh hingga lapan malam.



Walaupun terpaksa berpenat lelah hampir satu hari, namun sudah lumrah, sama ada pulang dengan tangan kosong atau hasil yang sedikit bergantung pada rezeki pada hari berkenaan.





Ini kerana, dengan hanya berbekalkan jala serta bot kecil dilengkapi enjin berkuasa kecil, skop tangkapan mereka terhad di pesisir pantai saja dan tidak mampu menahan ombak Laut Sulu atau hujan ribut yang melanda.



Apabila tiba musim tengkujuh pula, aktiviti menangkap ikan diganti dengan aktiviti mengaut pasir yang diangkut menggunakan sampan kecil mereka bagi kegunaan industri pembinaan.







Itu pemandangan biasa penduduk di Pulau Nunuyan, Sandakan, Sabah yang sememangnya terkenal sebagai satu daripada perkampungan nelayan di sana.





Terletak 30 minit perjalanan menaiki bot atau 16.6 kilometer dari Sandakan, Pulau Nunuyan yang terletak di kawasan Laut Sulu sebenarnya hanya dihuni 1,200 penduduk berketurunan Bajau dan Banjar.



Gambaran paling ketara apabila menjengah perkampungan itu adalah deretan sampan kecil diikat di setiap bawah rumah usang. Identiti nyata penduduk di sana yang bekerja sebagai nelayan.



Malah, disebabkan penempatan mereka di atas pulau, kebanyakan penduduk tidak mempunyai pengangkutan moden seperti kereta atau motosikal, sebaliknya hanya memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot sama ada untuk ke Sandakan atau menangkap ikan.



Aktiviti harian bagi kanak-kanak dan golongan ibu juga terhad. Kebanyakan masa dihabiskan sama ada dengan menonton rancangan televisyen bagi rumah yang memiliki bekalan kuasa elektrik, atau menghabiskan waktu lapang bersembang dengan jiran tetangga.



Menyedari hakikat itu, Astro menerusi tanggungjawab khidmat sosial (CSR) menganjurkan program Astro Kasih bagi membantu meringankan beban penduduk di Pulau Nunuyan.



Sebanyak RM50,000 disumbangkan Astro bagi membaiki rumah penduduk dalam program yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rohzan bersama 50 kakitangan Astro.



Ketua Kampung Pulau Nunuyan, Halid Abdullah, 67, berkata menangkap ikan adalah pekerjaan turun temurun penduduk Pulau Nunuyan yang dipercayai dihuni sejak lebih 200 tahun lalu.



Disebabkan rata-rata penduduk tidak mendapat pendidikan formal, menjadi nelayan adalah satu kemestian.



Malah, kerana itu juga, setiap penduduk di sana dikatakan mempunyai kebolehan ‘turun temurun’ untuk membina sendiri sampan mereka dengan hanya menggunakan tukul besi, gergaji serta parang tanpa bantuan alat elektrik yang lain.



Dengan sampan itulah, penduduk menangkap ikan dengan rata-rata daripada mereka hanya memperoleh pendapatan kurang RM700, sekali gus menyukarkan mereka untuk hidup dalam suasana selesa.



Setiap penduduk, tidak kira kanak-kanak atau dewasa, lelaki mahupun perempuan, juga dikatakan secara automatik mempunyai kemahiran tradisi iaitu berenang.



Penulis dan rakan media yang mengikuti program itu selama empat jam berkesempatan melihat kebanyakan rumah penduduk bagai menanti masa untuk roboh dengan binaan berasaskan pokok kayu bakau sebagai tiang dan papan sebagai dinding.



Bukan kerana penduduk tidak mahu membaikinya, sebaliknya kos membaiki kediaman berkenaan dikatakan sungguh mahal.



“Jika ingin membina rumah batu, penduduk terpaksa pula menyewa bot lebih besar untuk membawa bekalan simen, pasir serta batu. Ini pasti memakan belanja besar.



“Disebabkan itu, penduduk hanya membina rumah dengan kayu yang lebih mudah dibawa menaiki bot sampan mereka,” katanya.



Selain itu, bekalan air bersih yang terawat antara kemudahan asas paling kritikal di kalangan penduduk selain bekalan elektrik.



Ini kerana, kebanyakan mereka hanya bergantung kepada sumber bekalan air perigi yang dikorek penduduk dengan menyalurkannya menggunakan pam minyak petrol yang dibeli dengan simpanan sendiri.



Tidak ramai memiliki unit pam air dan hanya segelintir mempunyai kemudahan itu di rumah. Jadi, bagi penduduk yang tiada peralatan berkenaan, satu cara mendapatkan bekalan air bersih dari perigi adalah dengan mengangkutnya menggunakan tong air.



Bekalan elektrik diterima segelintir penduduk juga dicatu, di mana alat jana kuasa elektrik milik konsesi Sabah Elektrik yang dibina di sana hanya mampu menghasilkan bekalan kuasa untuk jumlah kecil, oleh itu penduduk hanya menerima bekalan dari jam 9 pagi hingga 10 malam.



Menurut Halid, bagi memastikan kawasan kampung berkenaan tidak ketinggalan menerima arus kemajuan dan kemodenan, pendidikan antara aspek yang dititik beratkan penduduk terhadap anak mereka.



Namun, disebabkan ketiadaan sekolah menengah di pulau itu, kebanyakan anak mereka dihantar bersekolah di Sandakan dan sekali lagi beban kewangan menjadi faktor berlakunya keciciran di sana, selain antaranya berhenti apabila tamat persekolahan peringkat rendah.



Yang nyata, walaupun penduduk selesa hidup dalam suasana demikian, kebanyakannya masih ‘dahagakan’ perkembangan teknologi dan arus kemajuan bagi mengubah kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment